Mengecilnya Wilayah Kesultanan Brunei Darussalam

Wednesday, March 29, 2017



Negara Brunei yang kita kenali sekarang merupakan sebuah Negara Islam kecil yang berada di Pulau Borneo. Mengimbau berdirinya satu kerajaan ini terlalu unik kerana suatu waktu dahulu Negara ini merupakan sebuah empayar besar yang mana jajahan takluknya bukan sahaja ¾ daripada Borneo itu sendiri malah sehingga menyeberangi laut iaitu di Negara Filipina yang kita kenali sekarang. 

Menyelusuri sejarah zaman keagungan empayar Brunei ini adalah sekitar abad ke 15 hingga ke 17 Masihi. Kemuncak kegemilangannya adalah sewaktu diperintah oleh Sultan Bolkiah (1485M-1524M) yang cukup terkenal dengan sifatnya yang suka belayar. Sewaktu pemerintahan beliaulah Kerajaan Manila serta kerajaan-kerajaan kecil yang lain di Filipina menjadi jajahan takluk empayar Brunei pada waktu itu. 

Namun begitu apabila sudah ada pengaruh Eropah iaitu Sepanyol mula memainkan peranannya di Filipina maka satu demi satu jajahan takluk Brunei di Filipina semakin mengecil. Pada tahun 1570, angkatan Sepanyol ini telah berperang dengan Kerajaan Manila yang juga disebut Kota Seludong. Ianya merupakan satu kerajaan yang dibawah perlindungan Kerajaan Brunei, Kerajaan Sulu dan Kerajaan Ternate. Sewaktu Sepanyol tiba di Manila, Kerajaan Manila ini dibawah pemerintahan raja nya yang bernama Sulayman. 

Pada serangan yang pertama, Manila tidak dapat ditawan dan usaha De Legazpi hanya berjaya pada tahun 1571. Raja Sulayman bersama-sama dengan tentera Manila telah ditewaskan malah pemimpin Kerajaan Manila ini juga turut terkorban pada pertempuran yang berlaku pada 3hb Jun 1571 itu. Atas kemenangan inilah juga akhirnya Sepanyol mengistiharkan Manila sebagai pusat pemerintahan Sepanyol di Timur pada masa itu. 

Atas rasa ingin memastikan bahawa pengaruh Sepanyol di Manila utuh serta boleh menyekat pengaruh perkembangan Islam yang dibawa oleh Kerajaan Brunei tidak terus kuat di bumi Filipina pada masa itu maka pada tahun 1578, Sepanyol telah menyerang Brunei. Tanggal 13 April 1578 menyaksikan armada laut Sepanyol dibawah pimpinan Dr. Fansisco de Sande dengan kekuatan 40 buah kapal perang telah bertembung dengan armada laut Brunei dengan kekuatan 50 buah kapal perang. Sejarah perang ini dikenali sebagai Perang Kastila 1578. 

Pertempuran kali pertama ini telah menyaksikan satu perang yang hebat namun nasib tidak menyebelahi angkatan tentera Brunei. Dikatakan angkatan Brunei menghadapi kekalahan kali pertama yang teruk. Mereka berundur ke daratan Brunei kembali dan ini menjadikan moral anggota tentera Sepanyol di tahap yang paling tinggi. Mereka mengatur strategi untuk memulakan peperangan darat. 

Pada tanggal 16, 20, 24 April 1578, Brunei diserang bertubi-tubi dengan serangan darat dan juga bantuan meriam dari armada laut Sepanyol. Askar-askar Sepanyol berjaya akhirnya merempuh istana serta kota Brunei pada masa itu. Dan terdapat konflik sejarah di dalam Perang Kastila ini bagaimana pensejarahan Sepanyok menyatakan bahawa mereka meninggalkan bumi Brunei pada sekitar Jun 1578 adalah kerana anggota Sepanyol diserang wabak sakit taun.

Namun hakikatnya Pada masa itu dikatakan anggota tentera Sepanyol tidak mampu mempertahankan diri daripada amukan dan jiwa kental pahlawan Brunei dibawah pimpinan Pengiran Bendahara Sakam ibnu Sultan Abdul Kahar. Pengiran Bendahara Sakam telah menggempur habis-habisan Sepanyol sehingga memaksa tentera Sepanyol melarikan diri sehingga ke wilayah Nausung (Sabah) pada tanggal 26 Jun 1578.

Selepas kekalahan itu menyaksikan Sepanyol tidak pernah lagi menganggugugat Kerajaan Brunei di tanahairnya tersendiri sebaliknya mereka lebih memfokuskan perluasan kuasanya di sekitar Filipina seperti di Kepulauan Sulu mahupun Mindanau. Dan kerana kelemahan di dalam struktur kerajaan-kerajaan ini juga menyaksikan satu persatu wilayah Brunei di Sulu mahupun Mindanau jatuh ke tangan Sepanyol pada akhirnya.

Mangkatnya Sultan Muhammad Hassan iaitu Sultan Brunei yang memerintah dari tahun 1582 hingga 1598 menyaksikan kesemua tanah jajahan Brunei di Filipina dimiliki oleh Sepanyol ataupun membebaskan diri daripada cengkaman Kerajaan Brunei. Pergolakan dalaman di dalam Kerajaan Brunei itu juga salah satu daripada sebabnya yang menyaksikan sebuah kerajaan yang kuat menjadi semakin lemah. 

Perang saudara antara Pengiran Abdul Hakkul Mubin (1661-1673) dengan Pengiran Muhyiddin menyaksikan tanah jajahan Brunei di utara Borneo atau Sabah sekarang pula menjadikan ianya bertukar tangan dimiliki oleh Kerajaan Sulu yang satu ketika dahulu adalah tanah jajahan Kerajaan Brunei. 

Apabila pengaruh Belanda dan Inggeris mula bertapak sekitar kurun ke-18 Masihi menyaksikan banyak jajahan Kerajaan Brunei juga turut bertukar tangan. Dengan sistem pemerintahan Brunei di utara Borneo iaitu yang berbentuk kerajaan, tanah kuripan dan hak tulin akhirnya menjadi imbalan kepada Inggeris. Dan pada tahun 1773 menyaksikan bagaimana Pulau Balambangan iaitu yang terletak di utara Borneo menjadi hak kepada Inggeris sepenuhnya. 

Belanda pula menjadikan satu persatu tanah jajahan yang besar di tengah, timur dan selatan Borneo atau yang kita kenali sebagai Kalimantan sekarang menjadi miliknya. Kerajaan Sambas, Kerajaan Matan dan banyak lagi satu persatu jatuh di tangan Koloni Belanda tanpa meninggalkan belas sedikitpun kepada Kerajaan Brunei pada masa itu. 

Kedatangan seorang pengembara berbangsa Inggeris ke Sarawak sekitar tahun 1838 pula menyebabkan wilayah Sarawak pula menjadi hak kepada empayar James Brooke. Atas nama ingin meredakan kekacauan ataupun penentangan masyarakat tempatan Sarawak atas pemerintahan Brunei di Sarawak akhirnya satu persatu wilayah tanah jajahan Brunei di Sarawak menjadi hak Brooke samada ianya sebagai hadiah kerana membantu mahupun dipajak atau dijual kepada Brooke. 

Sekitar tahun 1906, pemerintah Brunei sudah mulai sedar atas kehilangan jajahan takluknya sehingga setiap perincian mengenai sempadan Negara mereka dibuat dengan cukup teliti. Inilah pensejarahan Kerajaan Brunei yang merupakan sebuah empayar maritim yang gah namanya suatu waktu dahulu sehingga menjadi sebuah Negara kecil tetapi kaya seperti sekarang. 



Reaksi: